Tips menulis isi karangan SPM – POLISOSEK

TIPS A+ MENULIS ISI DALAM KARANGAN BAHASA MELAYU SPM
PoliSosEk

Pernah tak apabila kita cuba memikirkan isi untuk sebuah karangan, tapi idea tak timbul-timbul, isi kurang matang, terlalu berulang-ulang dan macam-macam lagi masalah. Mari kita lihat antara cara yang kita boleh guna untuk membina isi karangan kita menggunakan kaedah PoliSosEk. Politik, sosial, ekonomi.

#1 POLITIK

Membincangkan isu/isi dalam konteks politik. Banyak yang boleh dibincangkan dalam konteks politik. Antaranya ialah isu yang melibatkan pemimpin, undang-undang dan kerajaan. ELAKKAN TOPIK SENSITIF

 

Contoh Soalan: Beberapa buah negara di rantau Asia Tenggara seperti Malaysia, Indonesia dan Thailand sering dilanda masalah jerebu. Hal ini menjejaskan kesihatan rakyat negara tersebut.
Bincangkan langkah-langkah yang perlu dilaksanakan oleh pelbagai pihak di rantau Asia Tenggara untuk menangani masalah jerebu.

 

Contoh perenggan jawapan.

      Dalam era globalisasi ini, pihak kerajaan hendaklah berganding bahu dengan kerajaan negara lain untuk menangani masalah jerebu. Hal ini penting kerana masalah jerebu melibatkan seluruh populasi negara yang terlibat dengan masalah jerebu tanpa mengira usia dan kaum. Pemimpin dari negara-negara sekitar Asia perlu membuat perjanjian alam sekitar demi menangani masalah yang kritikal ini. Perjanjian ASEAN Mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan pada tahun 2002 merupakan salah satu langkah yang dilakukan oleh 10 negara ASEAN demi menangani masalah jerebu. Perjanjian ini mempunyai objektif jerebu akan dikurangkan melalui usaha negara bersepadu dan dipertingkatkan kerjasama serantau dan antarabangsa dalam konteks pembangunan lestari. Ini hendaklah dilakukan melalui aktiviti pemantauan dan pencegahan. Menangani masalah jerebu akan menjadi lebih mudah untuk diuruskan dan dicegah apabila berbilang negara turut menyumbang seiring dengan peribahasa berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Oleh itu, sangat penting bagi pihak kerajaan bekerjasama dengan kerajaan negara lain dalam menangani isu bertaraf global seperti jerebu.

#2 Sosial
Membincangkan isu/isi dalam konteks sosial. Istilah sosial sering dikaitkan dengan hal-hal yang berhubungan dengan manusia dalam masyarakat, seperti kehidupan kaum miskin di kota, kehidupan kaum berada, kehidupan nelayan dan seterusnya.

Contoh Soalan: Beberapa buah negara di rantau Asia Tenggara seperti Malaysia, Indonesia dan Thailand sering dilanda masalah jerebu. Hal ini menjejaskan kesihatan rakyat negara tersebut.
Bincangkan langkah-langkah yang perlu dilaksanakan oleh pelbagai pihak di rantau Asia Tenggara untuk menangani masalah jerebu.

Contoh perenggan jawapan.

        Kempen alam sekitar perlu lebih banyak diadakan untuk menyelesaikan isu jerebu. Ibarat peribahasa sediakan payung sebelum hujan, masyarakat perlu dilengkapi dengan pengetahuan dan kesedaran untuk mencegah jerebu sebelum hal itu berlaku. Kempen alam sekitar banyak mengajar masyarakat tentang penjagaan alam sekitar, Faktor berlakunya pencemaran udara seperti jerebu dapat dijelaskan kepada masyarakat agar dapat dibendung dari peringkat sosial lagi. Di samping itu, kempen alam sekitar dapat mengalakkan gaya hidup yang lebih sihat. Sebagai contoh, Hari Alam Sekitar Negara pada 21 Oktober 2017 memupuk semangat cinta akan alam sekitar. Kempen tersebut turut mendidik masyarakat untuk melindungi pokok dan hutan dari pembalakan haram dan pembakaran hutan. Justeru, kempen alam sekitar hendaklah diperbanyak supaya dapat menangani masalah alam sekitar.

#3 Ekonomi

Membincangkan isu/isi dalam konteks ekonomi. Aspek ekonomi boleh jadi berkenaan tentang keperluan, perbelanjaan, pengeluaran, perniagaan, supply and demand, dan sumber untuk sebuah negara. Selain untuk negara, kita juga boleh membincangkan dari sudut ekonomi sebuah masyarakat atau keluarga.

Contoh Soalan: Beberapa buah negara di rantau Asia Tenggara seperti Malaysia, Indonesia dan Thailand sering dilanda masalah jerebu. Hal ini menjejaskan kesihatan rakyat negara tersebut.
Bincangkan langkah-langkah yang perlu dilaksanakan oleh pelbagai pihak di rantau Asia Tenggara untuk menangani masalah jerebu.

Contoh perenggan jawapan.

        Pihak kerajaan perlu menambah peruntukan terhadap pemulihan dan pengurusan alam sekitar untuk menangani jerebu. Sudah jelas lagi bahawa jerebu adalah disebabkan pembakaran hutan kerana pehak yang tidak bertanggungjawab mahukan sumber balak secara mudah dan murah. Usaha untuk membanteras gejala yang menyebabkan jerebu ini sudah tentu memerlukan bajet yang sangat banyak. Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar mempunyai objektif untuk memastikan alam sekitar yang sentiasa bersih, selamat, sihat serta produktif dan tidak dicemari. Dengan lebih banyak peruntukan, usaha untuk melestarikan alam sekitar, penerapan nilai murni dan usaha kawalan membanteras pencemaran jerebu akan menjadi lebih efektif. Di samping itu, kajian saintifik dan pembangunan dapat dijalan dengan lebih meluas apabila ditingkatkan peruntukan. Oleh itu, pihak kerajaan hendaklah meningkatkan bajet untuk pemulihan dan pengurusan alam sekitar Malaysia.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *